Kulliyah Malam Jumaat: Rogol dan Seks Bukanlah Kerana Warna Baju
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berpendapat bahawa seragam sekolah untuk murid murid perempuan yang berwarna putih kelihatan jarang dan inilah sebabnya banyak kes-kes "pencabulan, penzinaan dan sebagainya".
Kenyataan yang dilaporkan oleh malaysiakini walaubagaimanapun tidak memberi perhatian kepada cadangan PKPIM untuk menukarkan warna seragam sekolah murid perempuan.
Sebagai Ketua Biro Dakwah SiPM, saya amat kecewa dengan sikap pandangan cetek PKPIM.
- Kes kes rogol atau pencabulan tidak ada kena mengena dengan warna baju atau reka bentuk pakaian wanita. Pencabulan terhadap wanita adalah kerana ketaksuban kaum lelaki untuk 'menakluk' kaum wanita, kerana ingin mempamerkan kuasa terhadap kaum wanita dan memaksa kaum wanita menuruti keinginan nafsu lelaki.
- Ini menunjukan bahawa kebanyakan lelaki yang mencabul wanita mempunyai pandangan psikologi yang membimbangkan terhadap kaum wanita!
- Di Arab Saudi, walaupun kaum wanita disana berselubung dalam hitam, mereka masih menghadapi masalah pencabulan terhadap wanita dan terpaksa membuka klinik klinik untuk membantu mangsa rogol.
- Kami menyokong segala tindakan mencegah pencabulan terhadap wanita tetapi PKPIM perlu menyemak semula sebab sebab kenapa berlakunya pencabulan terhadap kaum wanita.
- Tanggapan PKPIM yang menyatakan bahawa baju putih jarang tersebut adalah satu penyebabnya murid murid sekolah kita berzina atau membuat parti orgi adalah tidak tepat sekali. Di University of Texas di Austin telah membuat kajian "237 sebab mengapa kita bersenggama" dan kajian tersebut tidak mencatitkan sebarang kesan baju putih jarang terhadap keinginan untuk bersenggama. Mungkin baju putih jarang ialah terlalu spesifik untuk kajian tersebut, tetapi saya percaya walaupun murid murid perempuan memakai tudung, baju dalam dan uniform berwarna hitam, tetapi kalau dah nak bersenggama, bersenggamalah dia.
Update: Kenyataan ini telah disampaikan oleh Cik Munirah Bahari, naib presiden hal ehwal wanita PKPIM. Beliau menulis di blognya yang bernama Tasneem.