Monday, September 03, 2007

Titah Nasihat Baginda DYMM Sultan Selangor Mengenai Hak Rakyat Malaysia Tanpa Mengira Kaum

Mengadap Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj
Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor dan Jajahan Takluknya
Istana Alam Shah
KLANG

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

Warkah yang tidak seberapa ini terbitnya dari patik hamba Tuanku, Dek Mat, yang senantiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahuwata'ala semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku senantiasa dilindungi Allah dan berada di dalam kandungan sihat walafiat memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan penuh kebesaran dan kemuliaan.

Patik merafak sembah memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyembah-maklumkan disini bahawa patik amat terharu dengan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menggariskan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk tidak berpolitik dan juga untuk tidak mengungkitkan perkara-perkara sensitif sempena perayaan Merdeka Malaysia ke 50 tahun ini.

Patik sekali lagi merafak sembah memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyembah-maklumkan disini bahawa setakat ini titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak dapat patik jumpa di dalam laman web Utusan Malaysia (mungkin kerana rencana tersebut adalah satu eksklusif dari the Star) dan dengan itu, dengan izin Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik ingin menyenaraikan ringkasan rencana tersebut:

  1. untuk tidak berpolitik dan juga untuk tidak mengungkitkan perkara-perkara sensitif sempena perayaan Merdeka Malaysia ke 50 tahun ini,
  2. kemerdekaan negara kita dicapai dengan bersatunya semua kaum,
  3. takkan Malaysia merdeka dengan hanya bergantung harapannya kepada hanya satu kaum,
  4. Islam adalah agama rasmi negara Malaysia dan kedudukan agama Islam tersebut patut dihormati,
  5. walaubagaimanapun orang Islam harus menghormati agama yang diamalkan oleh rakyat Malaysia yang lain,
  6. negara ini milik semua rakyat Malaysia dan semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menikmati keistimewaan sebagai rakyat Malaysia
Sempena kemerdekaan negara kita tercinta untuk yang ke-limapuluh patik memohon perkenan Duli Yang Mulia Tuanku untuk patik menyebarkan titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Tetapi alangkah sedihnya, belumpun sempat patik menyebarkan titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kerajaan Barisan Nasional telahpun melanggar titah nasihat tersebut.

Pada malam merdeka, kerajaan Barisan Nasional telah mebuat pertunjukan yang mengenang kembali peristiwa bersejarah negara kita.

Malangnya pertunjukan tersebut lebih mirip perakan politik Barisan Nasional.

Walaupun memang terjadi persitiwa tersebut, alangkah baiknya jika kerajaan Barisan Nasional dapat mecari ilham dari titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk tidak mempolitikan sambutan kemerdekaan kita.

Mungkin pada masa yang akan datang, dengan titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku, penyambutan kemerdekaan negara kita boleh menjadi lebih sempurna dengan memperagakan tema-tema yang lebih miripkan masyarakat dan politik majmuk negara kita.

Sekian warkah patik, akhir kalam patik berdoa kehadrat Allah Subhanahuwata'ala semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku senantiasa dipelihara Allah dan dapat menjalankan pemerintahan Negeri Selangor Darul Ehsan di dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera.

Dan patik doakan juga semoga Malaysia senantiasa gemilang.

Amin, Amin Ya Rabbulalamin.

Ampun Tuanku.

Patik Yang Ikhlas dan Taat Setia

Dek Mat

1 comment:

Azer Mantessa said...

salam merdeka to you guys and thx for this posting :-)