Kulliyah Jumaat: Mari Kita Tumpukan Perjuangan!
Syukur kepada yang Maha Kuasa bahawa kita dapat bersua kembali dalam satu lagi edisi Kulliyah Jumaat.
Minggu ini dunia internet kita telah dikejutkan dengan berita News Strait Times yang telah memfailkan saman fitnah terhadap Jeff Ooi dan Rocky.
Tetapi di SiPM, kami tidak terkejut.
Seperti mana yang telah kami paparkan di ruangan komen di blog-blog yang membahaskan tentang kes saman fitnah ini, SiPM tanpa ragu akan membela hak untuk bersuara tetapi pada masa yang sama SiPM juga turut membela hak untuk sesiapa pun untuk menyaman fitnah demi keadilan!
Kes saman fitnah ini memang unik untuk sistem perundangan negara kita. Dengan itu kita harus memberi tumpuan kepada fakta-fakta yang penting:
- Jika benar Jeff Ooi dan Rocky memfitnah maka sabitlah kesalahan, kalau tidak maka tidak bersalahlah mereka. Kita sudah tentu akan tahu dengan mata kasar kita sendiri dengan mengikuti perkembangan kes mahkamah ini dengan teliti
- Sesetengah pihak ada yang khuatir dengan kemungkinan ada penglibatan Kerajaan dalam kes ini. Kita lihat saja proses mahkamah nanti. Jika benar ada perkara yang akan membawa kemusykilan, nescaya SiPM akan membawa hal itu ke medan perbincangan (dan lebih lagi) di alam internet ini. Kalau semuanya teratur, maka kita harus akur dengan keputusan mahkamah
Jangan gentar! Teruskan perbincangan kita! Selagi kita tidak berbuat salah, keadilan adalah dipihak kita!
Tahun ini adalah tahun sebelumnya Pilihanraya kita.
Kita harus meneruskan dan membongkarkan segala benda yang boleh kita perbaiki lagi supaya negara kita, Malaysia, yang tercinta dapat mencapai wawasan-wawasan murni yang di idamkan oleh SiPM dan saya harap, yang di idamkan juga oleh pembaca sekalian tanpa cacat cela.
Bak seperti kata Raja Petra dalam wawancaranya dengan Al-Jazeera, dia berkata "Walaupun ada yang disaman, ia tidak patut dijadikan alasan untuk sesetengah tidak menulis didalam blog lagi."
"Saya tidak fikir ini perkara besar. Perkara kecil sahaja... sudah lumrah untuk orang menyaman jika tidak puas hati dengan apa yang ditulis."
"Tetapi mari kita perhatikan apa yang akan berlaku di mahkamah. Itu akan menjadi saat paling menarik"
Itu adalah satu nasihat yang baik.
Kita serahkan proses ini kepada mahkamah tetapi kita akan memantau mereka dengan tekun.
Adalah lebih penting kita teruskan perjuangan kita untuk Malaysia yang lebih baik daripada yang dikotakan oleh kerajaan Barisan Nasional supaya Pilihanraya 2008 akan memberi kejayaan pada seluruh rakyat Malaysia.
Hingga ke minggu hadapan!
No comments:
Post a Comment